top of page

Orbit-Orbit Bumi dan Objek di Langit

Seorang pakar astronomi daripada Poland, Nicolaus Copernicus mengutarakan teori  yang dikenali sebagai teori helio sentrik. Melalui buku beliau yang diterbitkan pada tahun 1543 Masihi bertajuk De revolutionibus orbium coelestium (On the revilutions of the Heavenly Spheres), beliau mengatakan matahari berada dalam keadaan pegun di tengah-tengah angkasa manakala objek-objek lain di kosmos berpusing mengelilinginya. Hal ini dilaporkan dalam Stanford Encyclopedia of Philosophy di http://plato.stanford.edu/entries/copernicus.

 

Sebaliknya Quran menyatakan bumi dan matahari berputar dan tidak pegun. Sebagai contoh, dalam surah Al-Anbiyak ayat 33 Allah berkata, 

 

 وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

 

Maksudnya: "Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang,matahari dan bulan. Kesemuanya beredar (yasbahuun) dalam falaknya."

Perkataan yasbahuun bermaksud berenang. perkataan berenang pada asalnya berkaitan dengan perbuatan seseorang yang bergerak dalam air melalui pergerakan anggota badannya. Begitulah kiasannya dengan matahari dan bulan. kedua-duanya bergerak sendiri di angkasa. Pendek kata, matahari dan bulan tidak pegun. Tambahan daripada itu oleh sebab perkataan falak digunakan, dan falak bermaksud bulat seperti sfera, ayat ini menunjukkan matahari dan bulan bergerak dalam bulatan. 

 

Justeru di dalam Tafsir al-Quran al-Azim,Imam Ibn Kathir menukilkan pandangan sahabat Abdullah bin Abbas yang mengatakan 'malam dan siang' matahari dan bulan beredar dalam bulatan sebagaimana beredarnya rahat ketika menggulung benang'. Mengikut kamus Dewan, rahat ialah alat bulat seumpama roda yang digunakan bagi menggulung benang. Pentafsiran ini menunjukkan para sahabat di zaman nabi sudah berpegang dengan pendapat matahari dan bulan berputar dalam bulatan di atas paksinya sendiri.

 

Seperkara yang menarik dalam ayat ini adalah Allah mengatakan,malam dan siang, seperti matahari dan bulan juga berputar dalam falaknya. Semasa menjelaskan 'malam dan siang, matahari dan bulan beredar dalam falaknya', Allah menggunakan perkataan yasbahuun yang melambangkan banyak (lebih dari dua,dalam tatabahasa bahasa arab).

Said hawa di dalam al-Asas fi al-tafsir menjelaskan perkataan yasbahuun adalah perkataan perbuatan (verb) yang digunakan bagi objek yang berjumlah lebih daripada dua. Dalam ayat ini, jumlah objek yang Allah nyatakan hanya dua, iaitu matahari dan bulan. Di manakah objek yang ketiga?  malam dan siang bukannya objek sebaliknya adalah fenomena yang berlaku di atas bumi. Oleh sebab putaran malam dan siang berlaku di atas bumi, maka objek yang ketiga yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bumi. Tambahan daripada itu, disebabkan Allah mengatakan malam dan siang berputar (yasbahuun), menunjukkan bumi berputar dan hasil daripada putaran bumi di atas paksinya, maka lahirlah fenomena siang dan malam.

Kesemua ini menampakkan Quran adalah sebuah kitab yang begitu saintifik kerana kenyataan-kenyataan ini adalah selari dengan penemuan semasa.

 

Sumber: Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin

bottom of page